BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, April 12, 2009

Sains dan al-Quran tidak dapat dipisahkan. Walau bagaimanapun al-Quran bukannya sebuah buku sains. Ia adalah wahyu Allah. Al-Quran diturunkan sebagai petunjuk agar manusia dapat membezakan antara yang hak dengan yang batil. Walau bagaimanapun terdapat dalamnya ayat-ayat yang menceritakan tentang kejadian alam semesta serta fenomena-fenomena yang berkaitan dengannya.

Sains ialah penemuan berdasarkan cerapan dan kajian yang dilakukan oleh manusia. Secara dasarnya, penemuan yang sahih tentang alam tidak akan bercanggah dengan al-Quran. Hal ini disebabkan al-Quran dan alam datang daripada Allah: al-Quran diturunkan oleh Allah dan alam dicipta oleh Allah. Kedua-duanya adalah daripada Allah. Justeru, hubungan antara kedua-duanya adalah suatu hubungan yang harmonis.

Antara ayat al-Quran yang menjelaskan tentang hubungan ini ialah ayat 53 dalam surah Fussilat yang bermaksud, "Akan Kami tunjukkan kepada mereka bukti-bukti kebenaran Kami di segenap ufuk (penjuru) dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelas kepada mereka bahawa al-Quran itu benar."

Ada ulama yang mentafsirkan ayat ini secara yang berbeza sedikit. Bagi mereka ayat ini bermaksud, "Akan Kami tunjukkan kepada mereka bukti-bukti kebenaran Kami di segenap ufuk (penjuru) dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelas kepada mereka bahawa Islam itu benar."

Walau bagaimanapun, dalam kitab Tafsir al-Quran al-Azim, Imam Ibn Kathir berkata, "(Allah) akan tunjukkan bukti-bukti serta dalil-dalil di alam ini yang menunjukkan bahawa al-Quran ini adalah benar." Untuk menerokai dan mengeluarkan bukti serta dalil daripada alam, sains diperlukan.

0 comments: