BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, April 12, 2009

untukmu palestin

MATA bening Baba tajam menikam retina. Barangkali selaku anak dan separa bersalah pula, saya sewajarnya gentar lalu menikus tertunduk. Namun, di balik tenungan mata bening coklat cair milik Baba yang terlalu persis indera penglihatan milik kendiri, saya menemukan sinar berbeza nada. Maka derhakakah andai gerun setitik pun tidak membekas? “Berontak memenangkan darah muda tidak akan menguntungkan sesiapa, Wafeya.” Pernyataankah atau keluhankah? Indera dengar saya mengecam maksud bercapah makna. Mangkuk sup di hadapan hampir kering, namun Manhattan clam chowder masih banyak berbaki di dasar. Cebisan biskut tiram bergaul kuah pekat yang selalunya amat saya gemari mengembang, merencat selera. Baba menggamit pramusaji apakala kandungan mangkuk putih mula dikuis-kuis dengan hujung sudu bulat namun saya gesit menolak.

Ini bukan hidangan pilihan utama; tatkala diseru Baba melalui setiausaha peribadinya agar melapangkan jadual sedia kosong untuk janji temu makan tengah hari, saya berhajat besar membawa Baba menyantapi falafel di restoran kecil kegemaran di West Village. Taim, bererti lazat dalam bahasa Hebrew, dipunyai dan beroperasi di bawah pengawasan Ednat Admony, tukang masak Yahudi dari Israel yang pernah pula berguru dengan Bobby Flay, si bintang masakan dari saluran kabel Food Network. Namun semasa berdandan ringkas berhadapan cermin besar di dinding kamar, saya terlalu berat hati meninggalkan sehelai selendang kekotak putih-hitam segi empat sama yang sudah sebati dengan diri. Lalu, mengunjungi Taim ketika sengketa di Genting Gaza - meski mereda oleh gencatan senjata unilateral - dengan kaffiyeh melingkari tengkuk bukanlah tindakan bijak. Argh, bukankah punca saya terpaksa terbang pulang ke kota New York yang beku didakap dingin awal tahun Masihi, sedang semester musim bunga menginjak minggu ketiga di kampus University of California Irvine atau mesra oleh akronim ringkas UCI, adalah sehelai selendang ini juga? “Apabila pihak berwajib yang dipertaruhkan kepercayaan gagal bertindak, tidakkah khalayak wajar bangkit menuntut manifesto pilihan raya di kota dan objektif penubuhan organisasi dikuatkuasakan?” Sahutan tegas disambut desahan panjang. Baba tersandar. Beralahkah atau menyusun strategikah? Biarpun saya anak dan menjawat gelar cahaya mata tunggal pula, kolam hati Baba mustahil ditelah. Bening sepasang iris coklat cair adalah cerminan misteri jiwa seorang lelaki Palestin dari Beit Lahiya bernama Isham Mustafa.

Sebaliknya, saya mengekor deria lihat Baba yang kejap tertancap pada refleksi sebuah pencakar langit di luar tingkap kaca restoran.
Tidak dapat tidak naluri seorang pelajar seni bina mula bekerja, menganalisis segenap inci bangunan agam yang tercapai oleh pancaindera dari kejauhan. Bangunan Sekretariat milik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) setinggi 38 aras di pinggir East River tegak mencucuk dada langit New York bersilauan disimbah sinar lemah mentari pertengahan Januari rentetan struktur luar dibina sepenuhnya menggunakan kaca, marmar dan logam tahan karat. Bangunan yang menempatkan pejabat Setiausaha Agung PBB pada tingkat teratas itu telah direka bentuk berlandaskan konsep International Style yang popular amat di Eropah pada dekad lima puluhan. Keputusan ini dipersetujui majoriti pihak terlibat kerana konsep berkenaan sinonim diasosiasikan dengan aspek minimalis, pelbagai bentuk geometri nan abstrak dan bebas jargon politik. Ya, sebagai ibu pejabat sebuah pertubuhan yang seharusnya adil dan telus, ciri terakhir tentunya membawa signifikasi luar biasa. Tambah pula, ia tertegak atas nama kerjasama antarabangsa jua; Wallace Harrison, jurutera ternama dari Amerika Syarikat mengetuai sepasukan jurutera terpilih dari Switzerland di Eropah ke Uruguay di Amerika Selatan telah menterjemahkan cetak biru lakaran Le Corbusier, arkitek Perancis di atas lot seluas 18 ekar di tengah-tengah Pulau Manhattan bernilai lebih lapan juta dolar sumbangan jutawan John D Rockefeller. Kawasan kecil merentangi First Avenue dari 42nd Street sehingga 48th Street itu kemudiannya dinamakan United Nations Plaza dan diiktiraf sebagai teritori bebas yang tidak diikat undang-undang mana-mana negara, hatta Amerika Syarikat sekali pun.

"Sayang …” saya menggumam tanpa sedar. Anganan Baba terganggu. Wajah saya diseluruhi. Saya melipat kedua siku, lalu dipanggung ke birai meja. “Baba tahu, secara zahir Bangunan Sekretariat menghantar mesej keamanan yang jelas? Namun secara tersirat, sebagaimana ia dimamah usia dan ditimpa impak kerja-kerja kejuruteraan yang tergopoh-gapah seumpama tergesanya pembentukan organisasi itu seusai Perang Dunia Pertama, bangunan itu tidak lagi relevan sebagai kediaman moderator antara pihak-pihak bertelagah.” Kening Baba terjungkit sebelah, menghantar pertanyaan bisu. Saya meneguk liur, membasahkan kerongkong yang kering lalu meneruskan. “Sedari awal pembinaan, praktikaliti Bangunan Sekretariat sememangnya diragui. Setiap aras terlalu sempit, sekali gus kurang ergonomik untuk menempatkan kubikel atau ruang pejabat yang dihuni beratus-ratus petugas serentak sementara penggunaan kaca sebagai penyuntik elemen mesra alam dan futuristik pula memakan diri kerana ia mengganggu regulasi suhu keseluruhan bangunan. Selain itu, ia juga berhadapan pelbagai masalah dalaman seperti asbestos di bumbung, cat berplumbum pada dinding dan retakan konkrit. Dan, jangan terkejut, Bangunan Sekretariat tidak mempunyai sistem pemercik pemadam kebakaran sendiri..”

0 comments: